SEORANG remaja perempuan berusia 18 tahun meninggal dunia seminggu sebelum menyambut hari ulang tahunnya yang ke-19 akibat alergi selepas termakan kacang hazelnut. Shante Turay-Thomas, seorang pelajar dari Wood Green, utara London sempat berkata kepada ibunya: “Saya akan mati” dan beberapa saat kemudian dia rebah. Ibunya Emma Turay tidak dapat menahan kesedihan ketika mendengar kata-kata terakhir anak perempuannya dibacakan di Mahkamah Koroner St Pancras. Shante meninggal dunia di hospital pada 14 September tahun lepas. Pelajar itu mula merasa tidak sihat hari tersebut dan ibunya menghubungi talian hotline 111 NHS. Semasa panggilan telefon ke 111, Emma menerangkan bagaimana anaknya memberitahu dia telah makan hazelnut. Keadaan Shante makin merosot apabila Epipen (suntikan Epinephrine) gagal berfungsi dengan baik, dan dia sempat memberitahu ibunya: “Dada saya sakit, tekak saya tertutup dan saya rasa saya akan mati”, mahkamah diberitahu. “Saya segera membawa Shante ke bawah dan memberinya beberapa Piriton (tablet alahan). “Dia menjadi tidak sedarkan diri, bibirnya berubah menjadi biru, dan mula sawan. “Saya cuba lakukan CPR, dan tidak lama kemudian ahli keluarga lain tiba”, ujar Emma. Ketika pendengaran itu juga, mahkamah diberitahu bagaimana satu ambulans dihantar ke alamat yang salah, iaitu enam batu jarak dari kediaman Emma dan ia terpaksa mengambil masa selama sejam untuk tiba. Shante meninggal dunia di hospital tidak lama kemudian. Emma berkata dia begitu trauma dengan kematian anak perempuannya yang pergi seminggu sebelum ulang tahun ke-19. - Dailymail