SEORANG wanita yang membawa teman lelaki ke rumah untuk diperkenalkan dengan keluarganya, dikejutkan dengan soalan-soalan bapanya yang bersifat peribadi. Senarai soalan disediakan untuk membantu seorang bapa untuk menentukan sama ada teman lelaki anaknya itu merupakan calon yang sesuai menjadi menantu. Banyak soalan yang dikemukakan termasuk sejarahnya terlibat dengan pornografi dan pasangan terdahulu. Aleisha Stubley yang berasal dari Middlesbrough, North Yorkshire di United Kingdom menggemparkan pengguna media sosial selepas berkongsi gambar senarai soalan itu di laman Twitter. Keterangan gambar tersebut menyebut: "Datang minum teh bersama Andy dan keluarga saya buat pertama kali, ayah berikan ini kepadanya." Kertas itu mengandungi sembilan soalan yang dimulakan 'Di mana anda lihat diri dalam tempoh lima tahun?'. Soalan begitu berterus-terang turut diajukan iaitu apakah niat lelaki itu bersama dengan anak perempuanya. Namun, lama-kelamaan soalan-soalan yang disenaraikan semakin memalukan. Ini termasuk soalan sejarah teman lelaki anaknya dengan pornografi. Bagaimanapun, warganet memuji tindakan bapa wanita itu kerana lawak jenakanya. - Mirror