suria

Bekas penagih dadah jalani gaya hidup sihat, jadi sado selepas gagal bunuh diri

Foto perubahan badan Matt Ellengold dalam tempoh 24 minggu.

MATT Ellengold dari London berkongsi kisah transformasi berat badannya yang berjaya dicapai dalam 24 minggu.

Dia yang nekad keluar dari kancah dadah menjalani diet ketat dalam mencapai misi itu.

Sebelum ini, dia bukan sahaja bergelumang dengan dadah malah sering mabuk dan kerap berparti.

Ujar jejaka berusia 39 tahun itu, dia berjaya turun 28 kilogram dalam 24 minggu sahaja.

"Dulu saya selalu tidur dan harap tak akan bangun esoknya. Kini saya ada sebab untuk bangkit dan lihat dunia selepas tidur sepanjang malam," ujarnya.

Dedahnya lagi, dia mula mengambil minuman keras sejak awal remaja lagi.

"Masa umur 20-an, saya berada di kelab dan bar sepanjang hujung minggu, minum dan ambil dadah dengan kerap.

"Tak lama kemudian, saya lebih suka duduk di rumah dan guna dadah sendiri sehinggalah jadi obses," ujarnya.

Akhirnya, Matt membuat keputusan untuk mendapatkan bantuan selepas gagal dalam percubaan bunuh diri pada 2011.

Dia selepas itu aktif menjalani aktiviti kecergasan dan menjalani gaya hidup sihat. - Daily Star.

Artikel Lain