suria

Serik makan kari, aktivis haiwan menangis sepanjang malam selepas termakan ayam

Kepingan ayam di dalam hidangan kari sayuran. Foto Tania Baxter

SEORANG aktivis hak asasi haiwan menangis selepas termakan hidangan kari yang mengandungi kepingan ayam.

Vegetarian itu, Tania Baxter, 45, dari Melton Constable, Norfolk di England mengalami trauma selepas membuat pesanan kari sayur.

Dia bagaimanapun kemudian menyedari hidangan tersebut sebenarnya mengandungi ayam.

Wanita yang tidak memakan daging sejak 10 tahun lalu kini mendakwa tidak dapat melupakan perkara itu.

Tania membuat pesanan untuk keluarganya di sebuah restoran pada Jumaat lalu.

Walaupun dimaklumkan sajian tersebut adalah sayuran, tetapi dia kemudian memuntahkan apa yang dimakan selepas menyedari terdapat daging di dalam mulutnya.

"Saya dapat tahu berdasarkan tekstur dalam mulut saya adalah daging, jadi saya muntahkannya balik.

"Saya kemudian memeriksa kari tersebut dan mendapati ia mengandungi beberapa kepingan ayam," katanya.

Walaupun telah membuat aduan dan dijanjikan dengan hidangan baharu, Tania kecewa kerana tiada permohonan maaf berhubung insiden yang berlaku.

Susulan kejadian itu, dia berjaga sepanjang malam dan menangis.

Anak perempuan sulungnya pergi ke restoran berkenaan bagi menuntut penjelasan, tetapi respons yang diterimanya itu tidak mencukupi.

Aktivis haiwan itu memberi amaran kepada orang lain agar lebih berhati-hati dan serik untuk menikmati hidangan kari pada masa akan datang. - Daily Star


vegetarian, kari, ayam, sayur, aktivis haiwan

Artikel Lain