suria

Ajaib! Dulu pasangan ini putus hubungan kerana tak subur, dapat bayi 15 tahun kemudian selepas kembali bersama

Sam dan Keren mengambil masa 15 tahun untuk menjalinkan semula hubungan yang terputus dan akhirnya mempunyai anak sendiri. -foto Triangle News

PASANGAN yang memutuskan hubungan mereka selepas 'kehilangan' anak bersatu kembali selepas hampir 15 tahun dan meraikan kehadiran seorang bayi yang dianggap ajaib.

Karen, 36, dan Sam Cranfield, 44, bertemu ketika Karen berusia 17 tahun dan Sam berusia 25 tahun.

Ketika itu kedua-duanya bekerja di pub yang sama di Louisa Bay dekat Ramsgate, Kent.

Bagaimanapun, hubungan itu terputus apabila dua tahun selepas bersama, mereka 'kehilangan' bayi, mengakibatkan Karen trauma sekali gus tidak subur.

Kehamilannya adalah molar, yang mana sel telur tidak berdaya maju dan berkembang menjadi embrio seperti kehamilan normal.

Doktor telah membuang pertumbuhan itu yang mana proses tersebut menjejaskan kesuburannya, menyebabkan dia turut menolak Sam.

Karen berkata dia tahu dirinya telah membuat kesilapan tetapi tidak pernah membayangkan mereka akan kembali bersama.

"Saya tak pernah terfikir yang kami akan bersama semula apatah lagi mempunyai bayi yang saya langsung tak pernah terfikir.

"Pada masa itu saya percaya kami tak sepatutnya bersama. Saya beritahu saya tidak mencintainya lagi.

"Ia adalah satu pembohongan. Pembohongan terburuk yang pernah saya buat dalam hidup saya," katanya.

Pasangan ini percaya mereka memang ditakdirkan untuk hidup bersama. -foto TriangleNews

Selepas Sam gagal dalam mengekalkan hubungannya dengan Karen, masing-masing telah berkahwin lain dan Sam dikurniakan seorang anak perempuan Perri, 14.

Karen berkahwin setahun selepas berpisah dengan Sam tetapi perkahwinan itu berakhir pada 2010.

Dia kemudian bertemu pasangan baharu dan melakukan IVF pada 2013, tetapi menurut doktor dia tidak mempunyai peluang bergelar ibu kerana telur yang rendah ovari dan parut teruk dalam rahimnya.

Tak lama selepas itu dia berpisah dengan pasangan baharunya tetapi nasibnya tidaklah begitu buruk apabila dia menerima mesej daripada Sam di Facebook.

Mereka bertemu untuk makan malam pada Jun 2016 dan sebulan kemudian, Sam melamarnya dengan menyembunyikan sejambak bunga dan cincin berlian dalam almari pakaian wanita itu.

Sam berhenti kerja di London dan berpindah ke Kent pada September 2016 dan Karen hamil pada musim panas berikutnya dan seorang bayi diberi nama Louisa dilahirkan pada 10 Mac 2018 di Hospital Queen Elizabeth, tempat yang sama pasangan itu kehilangan bayi mereka pada 2002.

Pasangan itu berkahwin di Pejabat Pendaftaran Ramsgate ketika Louisa berusia enam minggu.

Sam, 43, berkata dia masih tidak percaya kisahnya bersama Karen berakhir dengan gembira.

"Saya sangat kecewa ketika Karen mula-mula membuang saya. Saya fikirkan tentang dia sepanjang masa selama bertahun-tahun. Kami memang ditakdirkan bersama," katanya. -MetroUK

molar, hamil, telur, subur

Artikel Lain