suria

Bos idaman ramai! Beri pekerja cuti tanpa had, cuti sakit berbayar... gaji pun RM215, 468 setahun

Dean Hall.

BAYANGKAN pekerjaan di mana anda tak perlu bimbang mengenai cuti tahunan untuk bercuti bersama kawan-kawan atau keluarga dan rasa bersalah mengambil cuti sakit.

Sebuah syarikat yang ditubuhkan pada 2015 tampil dengan idea menawarkan kakitangannya cuti rehat tanpa had dan cuti sakit berbayar.

Malah syarikat itu turut menawarkan gaji tahunan secara purata kira-kira 40,000 pound sterling (RM215, 468) kepada kakitangannya.

Kakitangannya juga diberikan kepercayaan untuk menguruskan kerja mereka selain jumlah waktu mereka perlu berada di pejabat.

Pekerja hanya perlu memaklumkan kepada pasukan jika mereka perlu mengambil atau melanjutkan cuti masing-masing.

Rocketwerks, sebuah syarikat pembangunan permainan video dalam peraturannya turut menggesa semua kakitangannya mengambil sekurang-kurangnya cuti empat minggu setiap tahun untuk mengembalikan stamina mereka.

Ketua Eksekutifnya, Dean Hall berkata strategi itu membantu syarikat menarik ramai kakitangan berkebolehan dan berdaya saing.

Katanya lagi, dia meletakkan sepenuh kepercayaan terhadap 30 kakitangannya untuk melaksanakan projek bernilai jutaan pound.

"Kami tidak mahu pekerja bimbang mengenai cuti tahunan mereka.

"Jika anda mahu bercuti atau melanjutkan tempoh tersebut, apa yang anda perlu lakukan hanya beritahu pasukan," katanya. - Mirror.co.uk

Artikel Lain