SEORANG budak perempuan berusia sembilan tahun mencairkan hati orang ramai dengan isi kandungan surat yang diutuskannya kepada Santa Claus. Dalam suratnya itu, Emilia Burgio memberitahu dia sudah mempunyai segala yang dia perlukan untuk Krismas. Emilia pada mulanya diminta oleh ibu bapanya untuk menyenaraikan apa yang dimahukannya sempena Krismas. Gadis kecil itu berkata dia meluangkan sedikit masa untuk 'berfikir panjang' tentang apa yang dia mahu sebelum menulisnya di atas kertas. Bapa Emilia yang menyangka anaknya menyenaraikan sekurang-kurangnya 10 hadiah bagaimanapun terkejut melihat isi kandungan surat yang ditulis itu. Emilia, yang tinggal di Wandsworth, London Selatan, berkata dia sudah mempunyai semua yang dia perlukan untuk Krismas dan mengucapkan terima kasih kepada Santa kerana meluangkan waktu. Tulis Emila: “Kepada Santa, saya telah berfikir panjang apa yang saya mahu untuk Krismas. “Dan sedar bahawa saya mempunyai semua keluarga dan teman terbaik. “Tetapi ada satu atau dua perkara yang saya sukai, tetapi hanya jika anda mempunyai masa kerana saya tahu anda sudah ada banyak perkara untuk dilakukan. “Terima kasih untuk waktunya.” Emilia kemudian mengakui bahawa dua perkara yang dia benar-benar mahukan adalah kasut roda dan siri buku Scarlet dan Ivy. - Mirror