suria

Patah hidung, mata lebam dibelasah pembuli anak di sekolah

Jiminez mengalami patah hidung, mata lebam serta beberapa kecederaan lain akibat tindakan ganas remaja perempuan terbabit. Foto: ABC7

SEORANG ibu mengalami kecederaan teruk pada bahagian mukanya akibat dibelasah oleh seorang remaja yang juga pembuli, ketika dalam perjalanan untuk menemui pengetua di sekolah anaknya.

Maria Jiminez mengalami patah hidung, mata lebam serta beberapa kecederaan lain akibat tindakan ganas remaja perempuan terbabit.

Jiminez, pasangannya Eder Rojas dan anak perempuannya yang berumur 16 tahun, diserang remaja terbabit, ketika tiba di Sekolah Tinggi James Logan di Union City, California pada Selasa untuk berbincang dengan pengetua mengenai kejadian buli yang menimpa anaknya itu.

Jiminez berkata gadis itu dan seorang rakannya menumbuk dan menendangnya sehingga jatuh ke tanah.

Akibat kecederaan itu, wanita itu yang baru melahirkan anak bongsunya empat bulan lalu terpaksa menghabiskan masa selama dua hari di hospital.

Pasangannya, Eder yang cuba menyelamatkannya juga turut turut dipukul.

Polis yang dipanggil ke sekolah kemudian mendakwa salah seorang daripada dua remaja itu akibat mendatangkan kecederaan yang serius pada tubuh badan.

Seorang jurucakap sekolah pula berkata mereka sedang 'menyiasat dan mengambil tindakan susulan' ekoran kejadian tersebut selain turut bekerjasama dengan polis.

Jiminez bagaimanapun telah mengeluarkan anak perempuannya dari sekolah terbabit dan sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang. - Metro.co.uk

buli, California, patah hidung, mata lebam

Artikel Lain