suria

“Dia cuba katakan sesuatu tapi darah memenuhi mulutnya” – Ibu saksi anak gadis hembuskan nafas terakhir akibat ditikam rakan sekerja

Julia Cutter menyaksikan anak gadisnya menghembuskan nafas terakhir selepas ditikam oleh rakan sekerjanya. Foto: GoFundMe/WVLT

MENYAYAT hati.

Itu yang dapat menggambarkan situasi di mana seorang ibu menyaksikan anak gadisnya mati dibunuh di hadapan mata sendiri.

Julia Cutter sedang menunggu di luar sebuah restoran di Pigeon Forge, Tennessee, tempat anaknya, Savannah Burford, 19, bekerja dan mahu menumpangnya pulang ke rumah pada Rabu lalu.

Ketika sedang menunggu, dia melihat anak perempuannya sedang berjalan ke arah kereta sebelum tiba-tiba ditikam oleh rakan sekerjanya, Gabriel Enrique Turcios.

“Saya kebetulan melihat ... dia berjalan ke arah kereta ... dan kemudian Gabe (Gabriel) ada di sana. Saya tidak tahu apa yang dilakukannya ... dan kemudian dia (Savannah) jatuh,” kata Cutter.

Wanita itu kemudiannya terus berlari mendapatkan anak perempuannya.

Menurut Cutter, dalam keadaan nyawa-nyawa ikan, anaknya itu seolah-olah mahu memberitahu sesuatu.

“Dia cuba mengatakan sesuatu kepada saya, tetapi darah memenuhi mulutnya,” katanya.

“Saya tidak dapat menyelamatkannya. Saya mengambil kot saya dan saya cuba menghentikan pendarahan namun tidak berjaya,” kata Cutter sambil menangis.

Polis kemudian menahan Turcios beberapa blok tidak jauh dari lokasi tersebut.

Remaja lelaki berusia 18 tahun itu didakwa melakukan pembunuhan kelas pertama serta serangan yang ganas.

Dia akan dibicarakan di mahkamah pada 6 Mac ini. - Metro.co.uk

tikam, anak gadis, rakan sekerja, restoran

Artikel Lain