suria

Telefon bimbit bos Amazon didakwa digodam oleh Putera Mahkota Saudi

Jeff Bezos (kiri) dan Mohammed bin Salman. -foto Rex

TELEFON bimbit Ketua Pegawai Eksekutif Amazon, Jeff Bezos, didakwa digodam oleh Putera Mahkota Arab Saudi.

Bezos dikatakan telah menerima satu mesej WhatsApp terus daripada Mohammed bin Salman pada Mei 2018, yang mengandungi 'fail berniat jahat' bagi mendapatkan 'jumlah data yang banyak dari telefonnya dalam tempoh beberapa jam', menurut Guardian.

Akhbar itu menyebut sumber-sumber yang tidak dinamakan tetapi tahu mengenai siasatan antarabangsa terhadap penggodaman tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki paling kaya di dunia, pengasas Amazon Jeff Bezos dan isteri bercerai

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki paling kaya setuju lepaskan isteri dengan perceraian rekod dunia

Tidak dapat dipastikan jenis maklumat yang diambil dari telefon itu atau bagaimana ia digunakan.

Sekiranya tuduhan itu benar, ia akan membahayakan bakal raja Arab Saudi itu pada masa akan datang.

CIA membuat kesimpulan bahawa Mohammed mengarahkan pembunuhan Khashoggi. -foto AFP

Bezos adalah pemilik Washington Post, yang mana wartawan Jamal Khashoggi dibunuh oleh agen Arab Saudi di konsulat negara itu di Turki pada Oktober 2018.

Agen Perisikan Pusat (CIA) telah membuat kesimpulan bahawa Putera Mahkota Saudi Mohammed bin Salman mengarahkan pembunuhan Khashoggi.

Ini bermakna penggodaman itu berlaku hanya beberapa bulan sebelum pembunuhan Khashoggi.

Arab Saudi sebelum ini menafikan bahawa ia mensasarkan telefon Bezos, dan menegaskan bahawa pembunuhan Khashoggi telah dilakukan oleh ejen penyangak.

Pada Disember, mahkamah Saudi menjatuhkan hukuman terhadap lapan orang yang terlibat dalam pembunuhan itu selepas perbicaraan yang mendapat banyak kritikan daripada kumpulan hak asasi manusia kerana tidak adil dan telus.

Kebimbangan tentang telefon bimbit Bezos telah digodam meningkat selepas penerbitan oleh National Enquirer, akhbar Amerika memaparkan mengenai butiran hubungan intim mengenai kehidupan peribadinya, Januari lalu.

Kisah itu termasuklah penglibatan Bezos dalam hubungan luar nikah.

American Media Inc (AMI), yang memiliki National Enquirer, menegaskan ia adalah intipan saudara lelaki teman wanita Bezos.

Siasatan dalaman oleh pasukan keselamatan Bezos menyimpulkan bahawa mereka sangat percaya bahawa telefonnya telah diakses oleh Arab Saudi.

Penemuan penyiasatan itu dipercayai telah diserahkan kepada pegawai penguatkuasa undang-undang di AS. -Metro UK

Artikel Lain