suria

Tragedi ketika memancing, muncung ikan todak berukuran 15cm tembusi leher remaja ini

Idul dibawa ke dua buah hospital sebelum muncung ikan todak berjaya dikeluarkan dari lehernya. -foto FB/Iwankoi/KOmpas

SEORANG remaja berusia 16 tahun yang keluar memancing bersama seorang rakannya tidak menyangka aktiviti tersebut akan berakhir dengan pengalaman ngeri.

Kira-kira jam 10 malam Sabtu lalu, Muhammad Idul sedang memancing di atas perahu apabila dia diserang seekor ikan todak, dalam kejadian di Buton Selatan, Sulawesi Tenggara, Indonesia.

Ikan todak tersebut melompat naik ke permukaan dan terus menikam leher Idul dengan muncungnya yang tajam.

Disebabkan serangan secara tiba-tiba itu, Idul tercampak sekitar satu meter dari perahunya.

Selepas dua hari kejadian, muncung ikan todak yang menembusi leher Idul berjaya dikeluarkan dari lehernya.

Ketika terjatuh, Idul sempat menggenggam ikan todak tersebut dengan tangan kanan yang menembusi bahagian lehernya.

Sementara tangan kirinya digunakan untuk 'mendayung' sebelum rakannya membantu Idul naik ke atas perahu.

Malah, ketika dibawa balik ke rumah, dia masih sempat menceritakan apa yang berlaku kepada dirinya.

"Dia sendiri yang pegang ikan itu yang sudah mati. Kemudian baru dibawa ke hospital," kata bapa Idul, Saharuddin, 42 tahun.

Ketika di Hospital Soloam, Baubau, doktor memotong badan ikan todak tersebut yang mana bahagian muncung dan kepalanya menikam leher Idul.

Bagaimanapun, disebabkan kekurangan peralatan, doktor meminta Saharuddin membawa Idul ke Makassar supaya pembedahan dapat dilakukan segera.

Muncung ikan todak berukuran 15cm menikam leher Idul.

Pada malam keesokan harinya (Ahad) Idul dan Saharuddin serta beberapa anggota keluarga menaiki pesawat terbang ke sebuah hospital Makassar.

Sekitar pukul 10 pagi Isnin, Idul menjalani pembedahan selama satu jam untuk mengeluarkan muncung ikan todak itu dari lehernya.

Salah seorang doktornya, Dr Jayarasti berkata muncung ikan yang menusuk leher Idul berukuran 15cm dan hanya berbaki 3cm dari pangkal mulut ikan tersebut.

Hasil CT scan mendapati muncung ikan tembus dari depan higga belakang leher.

Pasukan perubatan di Makassar berjaya menarik keluar muncung ikan todak dari leher Idul.

Ketika pembedahan doktor mendapati bahawa muncung ikan hanya menembusi bahagian tepi pembuluh darah, justeru tidak banyak pendarahan berlaku.

Menurut Dr Jayarasti, pembedahan agak mencabar kerana gigi ikan todak yang tajam akan merosakkan otot di leher ketika ia dikeluarkan.

"Agak sulit untuk terus menariknya keluar, perlu dilakukan secara perlahan-lahan kerana otot di leher masuk ke dalam mulut ikan todak.

"Kita buka sedikit muncungnya sehingga otot-ototnya terlepas dan muncung ikan dapat dikeluarkan," jelas Dr Jayarasti.

Keadaan Idul dilaporkan stabil. -Tribunnews

todak, serang, tikam, leher

Artikel Lain