suria

“Saya agak dia hanya akan jumpa saya pada hari pengebumian” - Bapa Meghan Markle

Hubungan dua anak beranak ini dilaporkan renggang -foto Evening Standard

BAPA kepada Duchess of Sussex, Thomas Markle mendedahkan dia percaya tidak akan dapat bertemu dengan anak perempuannya lagi.

Thomas berkata dia merasakan bahawa Meghan dan Putera Harry tidak gembira dan tidak mahu bercakap dengannya.

Kenyataan terbaharu itu muncul selepas Putera Harry berjumpa semula dengan isterinya di Kanada untuk memulakan kehidupan baharu selepas berundur dari keluarga diraja.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa risau dengan sikap biadab Meghan sejak akhir-akhir ini

ARTIKEL BERKAITAN: Meghan tulis surat rayu bapa berhenti buat hatinya berkecai, mahu hidup tenang

"Saya agak kali terakhir mereka mungkin akan jumpa saya ketika saya dikebumikan," kata Thomas dalam sebuah dokumentari Channel 5, yang disiarkan pada malam Rabu.

Dalam satu klip program tersebut, 'Thomas Markle: My Story' dia menambah: "Saya tak fikir pada masa ini mereka suka untuk berjumpa saya atau mahu bercakap dengan saya."

Putera Harry dan Meghan memilih memulakan kehidupan baharu di Amerika Utara. -foto AP

Dia juga berkata Harry dan Meghan telah mengubah keluarga diraja menjadi huru-hara gara-gara keputusan mereka.

Dalam sebahagian wawancara yang dikeluarkan sehari selepas Istana Buckingham mengeluarkan kenyataan mengenai masa depan Harry dan Meghan, Thomas berkata pasangan itu menjadikan institusi itu 'murahan'.

Institusi diraja berdepan kemelut awal bulan ini apabila Harry dan Meghan mengumumkan bahawa mereka mahu meninggalkan tugas rasmi mereka dan menghabiskan lebih banyak masa di Amerika Utara.

Thomas, yang tersisih daripada anak perempuannya, memberitahu berita Channel 5 bahawa dia percaya Meghan telah mencampakkan impian setiap gadis.

"Ia mengecewakan kerana dia sebenarnya mendapat impian setiap gadis.

"Setiap gadis mahu menjadi puteri dan dia memperolehinya dan sekarang dia membuangnya, untuk, nampak seperti untuk wang.

"Nampaknya 3 juta dolar (£2.3 juta) dan rumah 26 bilik tidur tidak mencukupi untuk mereka. Bagi saya ia memalukan," katanya.

Wawancara itu yang akan disiarkan sepenuhnya beberapa minggu akan datang dirakamkan selepas pengumuman pasangan itu bahawa mereka akan berundur dari keluarga diraja.

Thomas berkata dia tidak mengharapkan Meghan untuk menghubunginya.

"Saya tak nampak dia akan cari saya, terutamanya sekarang. Atau Harry dalam isu ini, saya fikir kedua-dua mereka berubah menjadi jiwa yang hilang pada ketika ini.

"Saya tak tahu apa yang mereka cari. Saya tak fikir mereka tahu apa yang mereka cari," katanya. -Evening Standard

Artikel Lain