suria

“Kami sangat terdesak...” - Wanita cerita pengalaman ngeri lihat mayat bergelimpangan di hospital, jururawat menangis minta bantuan

Keadaan di sebuah hospital dalam satu kawasan yang dikuarantin di Wuhan, China susulan merebaknya koronavirus. Foto: Dailystar/Twitter

SEORANG wanita menceritakan pengalaman ‘ngeri’ melihat mayat bergelimpangan yang ditinggalkan di koridor sebuah hospital dalam kawasan yang dikuarantin di Wuhan, China.

Wanita yang dikenali sebagai Xiaoxi itu berkata, dia pergi hospital itu untuk mendapatkan rawatan buat suaminya.

Setibanya di hospital, wanita itu berkata dia menyaksikan adegan-adegan yang ‘mengerikan’, yang mana mayat-mayat ditinggalkan di koridor hospital dengan dibungkus linen, sementara ramai yang lain sedang menunggu untuk mendapatkan rawatan.

Dalam keadaan itu ujarnya, dia juga menyaksikan seorang jururawat menangis kerana tiada yang mengendahkan rayuannya untuk memindahkan mayat-mayat berkenaan.

“Saya menyerahkan satu pek tisu kepada seorang jururawat.

“Dia menangis ketika dia cuba mendapatkan bantuan beberapa orang untuk datang dan mengalihkan mayat tetapi tidak ada yang memberi maklum balas,” ujarnya dipetik South China Morning Post.

Ujarnya lagi, ramai ahli keluarga pesakit 'berperang' dengan doktor dan jururawat demi mendapatkan rawatan dan katil hospital.

“Kami terdesak... sesungguhnya sangat terdesak,” ujarnya lagi.

Jumlah kematian akibat wabak virus maut di China meningkat kepada 41 orang dengan pihak berkuasa setakat Sabtu melaporkan 15 kematian baharu dan lebih 1,000 orang dijangkiti virus itu di seluruh dunia.

China telah menutup beberapa jambatan, menghentikan pengangkutan awam dan menutup sebuah lapangan terbang utama dalam usaha menyekat pergerakan kira-kira 26 juta orang yang berada di sekitar lokasi yang tercetusnya wabak koronavirus.  - Dailystar

Artikel Lain