BARU sahaja menyuap sepotong kek bersalut coklat yang dihiasi kelapa parut, wanita ini berdepan saat cemas apabila tiba-tiba mengalami sesak nafas. Kejadian itu berlaku ketika wanita berusia 60 tahun itu menyertai pertandingan makan kek dan pie daging sempena sambutan Hari Australia pada Isnin. Pasukan perubatan dikejarkan ke lokasi kejadian di sebuah hotel di Hervey Bay, Queensland, Australia. Wanita itu diberikan bantuan pernafasan di lokasi sebelum dibawa ke hospital, bagaimanapun telah disahkan meninggal dunia. Sebelum itu, ketika pertandingan bermula peserta dirakam memakan kek dengan pantas sambil mendapat tepukan dan sorakan penonton. Segelas air juga disediakan untuk setiap peserta. Wanita itu tiba-tiba sesak nafas dipercayai akibat tercekik selepas menyuap sepotong kek. Hotel Beach House telah memuat naik ucapan takziah kepada keluarga dan kenalan mangsa menerusi laman Facebooknya. Pihak hotel itu juga berterima kasih kepada perkhidmatan ambulans yang menjalankan tugas dengan profesional ketika mengendalikan kes berkenaan. Pertandingan seumpama itu popular pada Hari Australia, malahan ia adalah cuti umum bagi menandakan kedatangan warga Eropah pertama ke negara berkenaan.-bbc.com