KEJAM! Seorang lelaki tergamak menyeksa anjing peliharaan milik ibu saudaranya sehingga mati, sebelum memotong bahagian badan haiwan itu dengan menggunakan gergaji. Jonathan Bulluck, 23, pada mulanya bermalam di rumah ibu saudaranya yang tidak dinamakan, di North Carolina pada 24 Januari lalu. Wanita tersebut dalam keterangannya memberitahu polis bahawa anak saudara lelakinya ada mengadu kononnya anjing peliharaannya yang bernama Tiger, 'melompat' ke arah seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun di rumah itu. Selepas diberitahu mengenai perkara itu, wanita tersebut kemudiannya memeriksa kanak-kanak berkenaan namun mendapati tiada kesan kecederaan pada tubuhnya. Keesokan harinya, wanita itu bangun daripada tidur dan mendapati anjingnya 'hilang'. Dia mencari kelibat Bulluck namun gagal menjumpainya, dan mengesyaki kehilangan Tiger ada kaitan dengan anak saudara lelakinya itu. Dia lantas menghubungi pihak polis. Sebahagian badan Tiger yang ditanam akhirnya ditemui tidak lama kemudian. Bulluck didakwa kerana melakukan kekejaman terhadap haiwan. - Metro.co.uk