suria

Lelaki buat ‘konsert’ percuma dari balkoni, cuba hiburkan jiran yang sedang dikuarantin susulan wabak koronavirus

Lelaki yang diberi jolokan 'Balcony Divo' menyanyikan lagu untuk jiran-jirannya yang turut sama sedang dikaurantin susulan wabak koronavirus. Foto: CGTN

MUNGKIN bosan menjalani tempoh kuarantin di kediaman sejak beberapa minggu lalu, seorang lelaki membuat 'konsert' percuma apabila menyanyikan lagu untuk jiran-jirannya.

Lelaki yang diberi jolokan 'Balcony Divo' itu 'membuat persembahan' daripada balkoni apartmennya.

Dia adalah salah seorang daripada berjuta penghuni di Wenzhou, salah satu bandar yang diarahkan untuk dikuarantin oleh pihak berkuasa di China bagi mengelakkan penularan wabak koronavirus 2019-nCoV.

Dalam rakaman yang disiarkan oleh saluran berita China CGTN, lelaki itu dapat dilihat bersama set pembesar suara dan mikrofon.

Penduduk di sekitar turut menyertainya bahkan mereka dilihat melambai menggunakan telefon bimbit umpama peminat yang menghadiri konsert.

Klip video itu dikongsi di YouTube dengan ramai yang memuji 'penyanyi' itu kerana usahanya yang cuba menceriakan suasana di tengah-tengah kerisauan yang melanda negara itu susulan wabak koronavirus.

Setakat Isnin, angka korban di China dilaporkan melebihi 900 orang, manakala bilangan kes yang disahkan pula mencecah 40, 171 kes. - Dailystar

Artikel Lain