SEORANG pegawai di Korea Utara menerima padah kerana pergi ke sebuah tandas awam ketika dia sepatutnya perlu dikuarantin, dakwa satu laporan di bahagian Selatan. Akibatnya, pegawai berkenaan ditangkap dan terus ditembak mati selepas dianggap berisiko menyebarkan Covid-19 dengan pergi ke tandas awam, lapor akhbar Dong-a Ilbo. Pegawai itu telah diasingkan setelah berkunjung ke China, yang mana Kim Jong-un mengenakan undang-undang tentera untuk menguatkuasakan larangan itu, menurut sumber. Korea Utara belum mengesahkan sebarang kes virus tersebut, tetapi telah mengambil langkah drastik bagi menghalang virus dari China itu tidak merebak ke negara mereka. Covid-19 menimbulkan kebimbangan serata dunia. -foto AP Pegawai perdagangan itu dilaporkan dikuarantin di bawah dasar pengasingan untuk sesiapa yang pernah ke China atau mempunyai kontak dengan rakyat negara itu. Dia dikatakan telah melanggar larangan oleh Kim Jong-un yang mana dia telah bersumpah untuk mematuhi undang-undang tentera bahawa tiada siapa pun yang akan meninggalkan kuarantin tanpa persetujuan. Dalam pada itu, seorang lagi pegawai dikatakan telah diasingkan di sebuah ladang di Korea Utara selepas cuba menyembunyikan perjalanannya ke China. Dia dilaporkan berkhidmat sebagai anggota kerajaan rahsia, Agensi Keselamatan Nasional. Dakwaan mengenai pegawai-pegawai yang dihukum adalah perkara biasa di Korea Utara dan sangat sukar untuk disahkan. Pyongyang telah mengumumkan bahawa tempoh kuarantin telah dilanjutkan sehingga 30 hari, melebihi tempoh 14 hari yang disyorkan oleh WHO. Institusi kerajaan dan warga asing yang tinggal di Korea Utara perlu mematuhinya tanpa syarat, menurut media Korea Utara. Korea Utara hampir menutup sepenuhnya sempadan dengan China, satu-satunya sekutu diplomatiknya yang utama. Penerbangan telah dikurangkan manakala pengangkutan darat dan keretapi sama ada ditutup atau dihadkan selain pelancong asing tidak dibenarkan masuk. -Mail Online