suria

Covid-19: KLM mohon maaf selepas nota berbaur rasis anak kapalnya cetus kemarahan rakyat Korea Selatan

Nota tulisan tangan dalam bahasa Korea yang bermaksud "tandas untuk anggota kru sahaja" menjadi tular di internet dan menimbulkan kemarahan rakyat Korea Selatan.

SYARIKAT penerbangan Belanda, KLM membuat permohonan maaf susulan tindakan seorang anak kapalnya memaparkan tulisan bahawa penumpang tidak dibenarkan menggunakan tandas pesawat ekoran kes koronavirus atau Covid-19.

Gambar dengan tulisan tangan dalam bahasa Korea yang bermaksud "tandas untuk anggota kru sahaja" menjadi tular selepas seorang penumpang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Incheon, Seoul pada Isnin memuat naik di internet.

Penumpang tersebut menuduh KLM membeza-bezakan penumpang Korea Selatan kerana tulisan itu ditulis dalam bahasa Korea.

"Kepada KLM... Hari ini, anda telah jelas sekali mendiskriminasikan bangsa dengan menggunakan koronavirus sebagai alasan.

"Anda patut membuat permohonan maaf kepada rakan saya dan Korea," tulis seorang pengguna Twitter, yang menulis dalam Bahasa Inggeris dan Korea.

Perkongsian tersebut meraih ribuan retweet dan like.

Tanda pagar (hashtag) #BoycottKLM sedang menjadi trending di Twitter. - THE STAR

klm, kru, rasis, KOrea Selatan

Artikel Lain