suria

Delegasi sebuah persidangan di London diberi amaran gara-gara seorang daripadanya sah dijangkiti Covid-19

Para delegasi yang menghadiri persidangan UK Bus Summit di Westminster pada 6 Februari lalu dihubungi menerusi emel gara-gara seorang daripadanya disahkan positif Covid-19. Foto: TrapezeGroupUK

USAHA sedang giat dilakukan untuk menghubungi para delegasi yang menghadiri persidangan UK Bus Summit di Westminster pada 6 Februari lalu.

Ia gara-gara salah seorang daripada 250 delegasi yang hadir itu disahkan positif koronavirus atau Covid-19.

Pesakit tidak menunjukkan gejala sehingga tiga hari kemudian, sebelum disahkan dijangkiti virus berkenaan.

Setiap delegasi yang menghadiri persidangan berkenaan telah dihubungi menerusi e-mel, di samping diberi amaran bahawa mereka mungkin ada berhubung dengan pesakit berkenaan pada acara tersebut.

Mereka turut menerima surat dari Public Health England (PHE) yang memaklumkan bahawa sesiapa yang mempunyai gejala penyakit tersebut untuk mengasingkan diri dan menghubungi talian bantuan NHS 111.

Pada Khamis, seramai 763 individu telah diuji untuk Covid-19 selepas seorang pelancong menjadi orang kesembilan dijangkiti wabak berkenaan di UK.

Pelancong wanita berkenaan, yang berusia dalam lingkungan 20-an atau 30-an, adalah warganegara China yang tinggal bersama keluarganya di London.

Menurut sumber, wanita itu mengalami simptom jangkitan ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow. - Metro.co.uk

Covid-19, delegasi, persidangan, London

Artikel Lain