TIDAK berperikemanusiaan, itulah yang dapat digambarkan perbuatan seorang lelaki yang mencampak anjing peliharaannya bersama sangkar yang berkunci ke dalam sungai di Highlands, New Jersey, Amerika Syarikat. Susulan itu, lelaki berkenaan, Aaron Davis, 36, dijatuhi hukuman penjara selama setahun atas kesalahan yang dilakukan pada 2018. Bagaimanapun, nasib menyebelahi haiwan berusia lapan bulan tersebut apabila ia sempat diselamatkan oleh Jennifer Vaz, orang awam yang kebetulan berada di kawasan tersebut bersama anjingnya. Vaz menyelamatkan dan membawa pulang anjing malang tersebut lalu melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa. Davis (kiri) dipenjara setahun manakala River kini sudah bertemu tuan yang baharu. "Ketika diselamatkan, anjing itu sedang menggigil kesejukan namun masih dalam keadaan yang baik," ujar Vaz. Laporan mengatakan Davis melakukan perbuatan kejam tersebut selepas berlaku pertelingkahan dengan bekas kekasihnya. Dia disabitkan kesalahan pada lewat 2019 kerana kesalahan berlaku kejam terhadap haiwan. Selain hukuman penjara, Davis turut diarahkan untuk melakukan khidmat komuniti selama 156 jam di Persatuan Mencegah Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA). Disebabkan kejadian tersebut, anjing itu dinamakan River dan telah mempunyai tuan baharu menurut NBC New York. - DAILY STAR