SEORANG pekerja penghantaran dijatuhi hukuman enam bulan penjara kerana melakukan gangguan seksual terhadap seorang pelanggan perempuan. Mahkamah Dubai mendapati pekerja dari Pakistan itu bersalah mencium wanita Inggeris berkenaan ketika menghantar basikal ke rumahnya. Dia akan dihantar pulang selepas tamat hukuman penjara. Kejadian dilaporkan pada 4 Disember tahun lepas. Pengadu yang berusia 34 tahun memberitahu pendakwa bahawa defendan pada mulanya mencium tangannya, sebelum menarik pergelangan tangannya dan menciumnya sekali lagi. Menurut wanita itu, dia membuat tempahan sebuah basikal secara dalam talian. Pekerja tersebut membuat penghantaran pada pukul 8 malam semasa hari kejadian. "Saya mahu menghadiahkan sebuah basikal kepada suami saya sempena hari lahirnya. Ketika saya membuka pintu, saya nampak lelaki itu mengeluarkan basikal tersebut dari keretanya. "Saya terus pergi ke keretanya untuk mengambil hadiah tersebut. Tapi tiba-tiba dia mencium tangan saya, saya menariknya dan terus berlari masuk ke dalam rumah dan mengunci pintu," tambahnya. Dia kemudian melihat pekerja tersebut menurunkan basikal itu dan meletakkannya di hadapan pintu rumah sebelum mengetuk pintu rumahnya. "Saya keluar untuk mengambil basikal itu. Lelaki itu suruh saya menelefonnya jika ada sebarang kerosakan. Dia kemudian menarik pergelangan tangan saya sehingga rapat ke arahnya dan mencium saya lagi," katanya. Selepas berlari memasuki ke apartmen, dia memberitahu menerima satu mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada lelaki tersebut yang meminta maaf. Lelaki itu memberitahu bahawa dia tak bermaksud untuk menciumnya dan hanya mahu berkawan. Bagaimanapun dia telah memadam mesej perbualan awal dan satu lagi mesej selepas itu dan mengirim semula permohonan maafnya. Namun, mangsa sempat membuat 'screenshot'. Seorang polis yang menyoal tertuduh memberitahu: "Lelaki itu mengaku mencium mangsa di tangan dan pipi tanpa kebenarannya. Dia juga mengaku menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp dan bertindak memadamnya." Defendan boleh mengemukakan rayuan dalam masa 15 hari. -Khaleej Times