SEORANG pengguna laman sosial TikTok dikecam apabila tindakannya terjun dari kereta api yang sedang bergerak menjadi tular. Dalam video tersebut, dapat dilihat seorang lelaki yang memakai kemeja putih dan seluar jeans sedang berpaut pada luar badan kereta api tersebut lalu terjun ke atas tanah. Dia kemudiannya cuba untuk menstabilkan diri sebaik sahaja terjun namun gagal mengawal dirinya sebelum rebah. Seorang penumpang wanita kelihatan menjerit dan menekup mulutnya dengan tangan, menyangka pemuda itu digilis namun mujurlah dia terselamat. Tindakan pemuda itu juga mendapat kritikan Menteri Perdagangan dan Industri India, Piyush Goyal yang menyifatkan tindakan itu sebagai satu kerja bodoh. "Terjun dari kereta api sedang bergerak bukanlah satu tindakan yang berani tapi menunjukkan kebodohan. "Tolong hargai nyawa anda dan jangan sesekali cuba untuk membahayakan diri sendiri," ujarnya. Pemuda tersebut nyaris digilis kereta api apabila dia sempat menggulingkan badan keluar dari landasan. Klip video itu menjadi tular dan ada netizen yang mendesak pihak berkuasa supaya mengambil tindakan terhadap pemuda tersebut. "Tolong ambil tindakan ke atas pemuda ini kerana aksinya terlampau bahaya dan mampu memberi kesan trauma kepada penumpang yang melihat kejadian tersebut. "Perkara seperti ini sering berlaku di Mumbai dan ada juga pemuda yang lari di landasan yang mempunyai voltan tinggi. Tindakan tegas harus diambil supaya mereka tidak menjadi ikutan orang lain," kata beberapa netizen. Video TikTok itu mendapat lebih 29,000 tontonan dan 6,300 tanda suka beberapa jam selepas dimuat naik. - Daily Star