IMPIAN percutian seorang remaja perempuan bersama keluarga 'baharu' bapanya di luar negara musnah, gara-gara pasportnya telah tamat tempoh. Percutian itu sepatutnya disertai isteri baharu bapanya bersama dua adik tirinya. Bapa gadis itu menjelaskan bahawa bekas isterinya enggan mengisi butiran pasport secara dalam talian, dan hanya memberikan tarikh tamat tempoh. Selepas mengesahkan pasport tersebut mempunyai setahun lagi sebelum tamat tempoh, bapanya dan isteri membuat tempahan percutian termasuk penerbangan. Semuanya berjalan lancar sehingga mereka tiba di lapangan terbang. Dia difahamkan pasport anak perempuannya yang berusia 14 tahun akan tamat tempoh dua bulan lagi. Ini bermakna anaknya tidak dibenarkan menaiki penerbangan kerana polisi penumpang perlu mempunyai tempoh sekurang-kurangnya enam bulan sebelum pasport tamat tempoh. Malangnya, percutian mewah itu tidak boleh mendapat bayaran balik. Lebih memburukkan keadaan apabila isteri baharu bapanya itu memberitahu akan membatalkan percutian berkenaan sekiranya suaminya tidak turut serta. Ibu tirinya memberikan alasan tidak dapat mengendalikan dua anaknya, masing-masing berusia sembilan dan 11 tahun seorang diri di luar negara. Selepas berbincang mengenai keadaan itu, bapa kepada gadis berkenaan memutuskan untuk meneruskan percutian bersama isteri dan dua anaknya, dan meninggalkan anak perempuan sulungnya keseorangan di lapangan terbang. "Anak perempuan saya sangat sedih dan saya berjanji untuk membawanya bagi percutian lain sebaik pasportnya diperbaharui. "Tapi sudah tentu ia tidak akan membuatkan dirinya berasa lebih baik," katanya. Dia bagaimanapun mengakui berasa teruk kerana meninggalkan anak perempuannya. Anak perempuannya kemudian enggan bertemu dengannya sebaik pulang dari bercuti, malah mahu bertukar sekolah gara-gara rakan-rakan lain menuduhnya menipu mengenai percutian tersebut. - Mirror