suria

Kedua-dua belah kaki, tangan, hidung terpaksa dipotong gara-gara digigit cerpelai

Shaninlea terpaksa dipotong kedua-dua belah kaki dan tangannya gara-gara digigit seekor cerpelai ketika berada di rumah bekas majikannya pada 2017. Foto: Caters News

SEORANG wanita kehilangan kedua-dua belah kaki dan tangannya gara-gara digigit seekor cerpelai.

Shaninlea Visser, 36, dari KwaZulu-Natal, Afrika Selatan, mengalami sepsis atau jangkitan dua hari selepas 'serangan' haiwan tersebut pada 17 Januari 2017.

Dia dirawat di hospital dan doktor meletakkannya di dalam keadaan koma selama 11 hari.

Ahli keluarganya pada ketika itu memaklumkan Shaninlea mempunyai peluang yang tipis untuk hidup.

Selepas tersedar, dia terpaksa menjalani pembedahan untuk memotong kedua-dua belah tangan dan kaki, begitu juga hidung, bibir dan sebahagian kecil lidah.

Sehingga kini Shaninlea sudah menjalani 66 siri pembedahan, di mana satu lagi pembedahan dijangka dilakukan pada April ini untuk pembinaan semula rahangnya.

Bercerita mengenai insiden hitam itu, Shaninlea berkata dia digigit seekor cerpelai ketika berada di rumah bekas majikannya.

"Saya digigit di antara ibu jari dengan jari kedua. Ada darah tapi saya hanya bersihkan tanpa terlalu memikirkannya sehinggalah saya pengsan dua hari kemudian.

"Saya juga alami mual, tak selesa di dalam perut dan pitam beberapa kali," ujarnya.

Sungguhpun tidak lagi sempurna seperti dulu, Shaninlea berkata dia mahu menjadi seorang yang positif. - Metro.co.uk

cerpelai, kaki, tangan, potong

Artikel Lain