INDIVIDU paling tua di Britain, Hilda Clulow meninggal dunia pada usia 111 tahun. Dilahirkan pada 15 Mac 1908, sepanjang tempoh hayatnya dia sempat merasai lima pemerintahan diraja yang berbeza, mengharungi dua kali perang dunia, serta 27 kali pertukaran Perdana Menteri. Tahun 1908 juga menyaksikan buat pertama kalinya Britain menjadi tuan rumah Sukan Olimpik, penerbangan pesawat dengan membawa muatan penumpang dan berlakunya Tragedi Tunguska iaitu sebuah letupan besar di Rusia. Pada ketika itu, harga seketul roti hanyalah beberapa sen manakala harga sebuah kereta pula bernilai 825 pound (RM4,000) berbanding dengan harga kereta semasa 23,133 pound (RM125,000). Hilda menghabiskan kebanyakan masanya dengan bekerja sebagai pembuat baju di sebuah kilang di Balsall Heath, Birmingham. Dia bersara ketika berusia 60 tahun, setahun sebelum Neil Armstrong menjejakkan kaki ke bulan. Hilda bekerja sebagai pembuat pakaian ketika berusia 16 tahun hingga 60 tahun. Foto SWNS Hilda mengahwini cinta hatinya, Arthur ketika berusia 29 tahun dan mereka dikurniakan seorang anak bernama Barry serta tujuh cucu dan cicit. Dia menjadi orang tertua di Britain berikutan kematian Gwen Payne, 112 tahun pada Jun tahun lalu. Jackie Hayden, penjaga Hilda di rumah kebajikan memberi penghormatan terakhir dengan mengatakan kehadirannya telah mengubah kehidupan semua penghuni di dalam rumah tersebut. "Dia tidak tahu betapa sayangnya kami pada dia walaupun setiap hari memberitahunya mengenai hal itu. "Selepas dia tidak mampu bercakap, dia hanya bergurau dengan kami dengan menggunakan riak wajahnya sahaja. Hilda ketika menyambut ulang tahun ke-111 pada tahun lalu. Foto BBC Di rumah penjagaan Bowood Court & Mews Care Home, Hilda menginap selama empat tahun di situ dan pengarahnya, Dawn Leaver berasa teruja kerana pernah menjadi sebahagian daripada hidup Hilda. "Saya tidak akan lupakan kenangan indah bersamanya terutamanya ketika menyambut ulangtahun," kata Leaver. Rekod individu paling tua di Britain kini dipegang milik Bob Weighton, 111 tahun yang lahir pada 29 Mac 1908. - Daily Star