suria

Budak lelaki kerdil mangsa buli terima jemputan iringi pasukan ragbi di padang

Quaden dilihat berada di barisan paling hadapan berpimpinan tangan dengan Joel Thompson mengiringi pasukan Indigenous All-Stars masuk ke padang. Foto: AAP

SEORANG kanak-kanak lelaki kerdil yang videonya tular baru-baru ini gara-gara mahu membunuh diri ekoran sering dibuli, mengkagumkan orang ramai selepas dilihat berpimpinan tangan dengan pemain ragbi terkenal.

Penonton di Stadium Super Cbus di Gold Coast berteriak dan menjerit ketika mereka melihat Quaden berjalan berpimpin tangan bersama kapten Indigenous All-Stars, Joel Thompson menjelang perlawanan dengan Maori All-Stars pada Sabtu.

Quaden dilihat berada di barisan paling hadapan mengiringi pasukan Indigenous All-Stars masuk ke padang.

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas video menyayat hati tular, budak mangsa buli dibanjiri mesej termasuk dari aktor terkenal Hollywood

Sementara itu netizen di media sosial juga turut berasa gembira dan teruja melihat kanak-kanak tersebut membuat kemunculan bersama bintang ragbi.

Jurulatih Laurie Daley berkata: "Kami mahu memeluknya dan memasukkannya ke dalam beberapa aktiviti kami, hanya untuk menunjukkan bahawa kami peduli dan kami berada di sini untuknya".

Baru-baru ini video Quaden menangis dan meluahkan perasaannya menjadi mangsa buli dimuat naik ibunya, Yarraka Bayles di media sosial.

Video tersebut menarik perhatian ramai kerana begitu menyentuh hati.

Antara yang turut terkesan adalah aktor terkenal Hollywood seperti Hugh Jackman, Mark Hamill dan Jeffrey Dean Morgan yang turut menitipkan kata-kata semangat buat kanak-kanak berusia sembilan tahun itu.

Bagaimanapun ramai pihak mendakwa video tersebut adalah satu penipuan.

Namun ibu Quaden, Yarraka menafikan dakwaan video itu diadakan untuk mengutip wang dan Quaden sebenarnya berumur 18 tahun.

Wanita itu juga mengeluarkan amaran terhadap satu laman web yang menggerakkan pengumpulan dana untuk anaknya secara haram. - Metro.co.uk

buli, ragbi

Artikel Lain