suria

Covid-19: Seorang lagi doktor di Hospital Wuhan meninggal dunia

Mei Zhongming, seorang doktor di Hospital Pusat Wuhan di wilayah Hubei China Tengah meninggal dunia akibat wabak tersebut pada Selasa.

SEORANG lagi doktor dilaporkan meninggal dunia akibat terkena jangkitan koronavirus atau Covid-19.

Mei Zhongming, seorang doktor di Hospital Pusat Wuhan di wilayah Hubei China Tengah, meninggal dunia akibat wabak tersebut pada Selasa, demikian menurut notis yang dikeluarkan oleh hospital.

Doktor berusia 57 tahun itu dijangkiti sewaktu merawat pesakit wabak tersebut, demikian kenyataan hospital sambil menyatakan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Mei adalah timbalan pengarah Jabatan Oftalmologi di hospital tersebut.

Dia adalah rakan sekerja Li Wenliang, salah seorang daripada lapan orang pertama yang pernah memberi amaran tentang bahaya Covid-19.

Wenliang juga meninggal dunia akibat dijangkiti wabak tersebut pada awal Februari.

Menurut laporan yang memetik seorang doktor yang tidak dinamakan di hospital itu, Mei dijangkiti pada pertengahan Januari dan keadaannya mula memburuk sekitar 11 Februari.

Ramai pesakit yang dirawat oleh Mei meratapi pemergiannya dan menyifatkannya sebagai seorang doktor yang mesra dan sabar. - THE STAR

doktor, Covid-19, meninggal dunia

Artikel Lain