suria

Langgar perintah berkurung lelaki buru 'Pokemon' didenda

Lelaki berusia 77 tahun itu keluar memburu Pokemon kerana bosan sepanjang tempoh perintah berkurung di Sepanyol.

SEORANG lelaki didenda kerana memburu 'Pokemon' ketika perintah berkurung susulan wabak koronavirus (Covid-19) di Sepanyol.

Sepanyol menjadi negara pertama di Eropah melaksanakan perintah berkurung dan sekatan perjalanan awal bulan ini untuk mengekang penularan wabak itu.

Selepas seminggu menjalani perintah itu, seorang lelaki keluar dari rumahnya untuk bermain permainan popular Pokemon Go pada Ahad lalu.

Menurut surat denda yang dikongsi Policia Municipal de Madrid, lelaki berusia 77 tahun itu berhenti di Madrid kira-kira pukul 1.30 petang Ahad dan memberitahu polis dia sedang memburu 'Pokemon'.

TeleMadrid melaporkan sebanyak 664 denda dikeluarkan di sekitar bandar raya itu pada Ahad dengan lebih 60,000 aduan diterima di seluruh Sepanyol sejak perintah berkurung dilaksanakan.

Setakat ini, angka kematian di Sepanyol menunjukkan peningkatan 27 peratus kepada 2,182 kes selepas 462 meninggal dunia dalam tempoh 24 jam lalu. - Metro.co.uk

Pokemon, perintah berkurung, Covid-19

Artikel Lain