DALAM usaha memberi kesedaran kepada orang ramai, seorang artis di India bekerjasama dengan pihak polis dengan menghasilkan topi keledar berbentuk virus Covid-19. Juga dikenali sebagai topi keledar Corona, ia kini turut dipakai oleh anggota polis khususnya yang bertugas dalam sekatan jalan raya. "Orang ramai dalam jumlah yang besar belum menganggap ia sebagai wabak yang serius. "Saya dapat idea ini dan menggunakan topi keledar rosak dan kertas," ujar Gowtham, artis yang mereka aksesori itu. Kata Inspektor Rajesh Babu, pendekatan itu ternyata membawa perubahan positif dalam menanam kesedaran buat orang ramai. "Kita ambil semua langkah tapi orang masih keluar. Dengan topi keledar Corona, kita mahu mereka tahu bahawa ini wabak yang serius. "Apabila saya pakai, orang ramai akan terbayang mengenai Covid-19. "Kanak-kanak misalnya, terus ajak balik rumah lepas lihat topi keledar ini," katanya lagi. - India Today.