LAPAN individu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Ghandi Delhi sebelum berlepas ke Malaysia. Mereka dikenal pasti sebagai rakyat Malaysia dan disyaki berada di negara itu bagi menghadiri perhimpunan tabligh Nizamuddin pertengahan bulan lalu. Lapan rakyat Malaysia itu cuba menaiki penerbangan ehsan yang disediakan Malindo Air. Mereka dikatakan telah bersembunyi di beberapa lokasi di Delhi dan berkumpul di lapangan terbang berkenaan pada Ahad untuk meninggalkan negara itu. Sumber berkata, ketika ini mereka sedang disoal siasat dan mungkin akan diserahkan kepada pihak polis Delhi serta jabatan kesihatan untuk tindakan lanjut. Sepanjang perintah lockdown di India, semua penerbangan telah dibatalkan. Lebih 2,000 peserta termasuk dari Indonesia dan Malaysia menghadiri perhimpunan tabligh yang berlangsung pada 1 hingga 15 Mac lalu. Setakat ini, 301 kes positif Covid-19 berkait langsung dengan perhimpunan itu di mana majoritinya menetap di markas tabligh sebelum pihak polis meminta mereka bersurai. Perhimpunan itu menjadi lokasi panas merebaknya virus Covid-19 di negara itu. Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri India telah menyenaraihitam 960 warga asing dan membatalkan visa pelancong melibatkan peserta program tabligh berkenaan. - India Today