suria

Tak hirau wabak Covid-19, ribuan penduduk bersesak sambut kepulangan peserta liga dangdut

Eva disambut ribuan peminatnya sebaik tiba di Lombok Timur, hujung minggu lalu.

KEPULANGAN Eva Yolanda, salah seorang peserta Liga Dangdut Indonesia (Lida) 2020 disambut warga Desa Lando, daerah Terara, Lombok Timur hujung minggu baru-baru ini.

Menerusi sebuah video yang tular di media sosial, kelihatan warga daerah itu bersesak sambil berteriak meminta Eva bernyanyi.

Malahan, kumpulan yang ramai itu juga tidak peduli arahan penjarakkan sosial ketika penularan wabak Covid-19.

Eva telah tersingkir dari pertandingan itu pada Sabtu lalu.

Bukan hanya di daerah berkenaan, kehadiran Hamid Aan yang juga peserta pertandingan sama disambut ribuan penduduk Alor, Nusa Tenggaran Timur.

Mereka berkumpul di Lapangan Terbang Mali, Alor untuk menyambut anak kelahiran daerah itu pada Sabtu.

Malahan, ada juga yang berkumpul di halaman rumah Hamid di Desa Alila Selatan, daerah Alor Barat Laut.

Walaupun ada kawalan pihak polis, namun ia hanya sia-sia kerana peminat dua peserta itu tetap berkerumun untuk melihat lebih dekat peserta pertandingan itu.

Setakat ini Lombok Timur dikategorikan zon merah kerana dua warganya disahkan positif Covid-19.

Ketua Polis Lombok Timur, Tunggul Sinatrio berkata, pihaknya telah berusaha untuk meminta supaya semua pihak bersurai.

"Dah namanya peminat, lebih-lebih lagi kenalan di kampung halaman tentunya mereka mahu bertemu Eva.

"Akhirnya dengan kerjasama pasukan Eva sendiri, penduduk yang berkumpul bersurai," katanya.-kompas.com

Artikel Lain