PRANK mengarut yang tidak masuk akal. Mungkin itulah yang dapat menggambarkan tindakan kurang bijak lelaki ini ke atas isterinya. Hani Halawani, seorang selebriti media sosial di Arab Saudi ditahan polis selepas memuat naik satu video prank. Dalam video itu, dia kononnya membancuh teh untuk isterinya menggunakan air dari mangkuk tandas. Perbuatan influencer itu menerima padah apabila ia menjadi tular dan mendapat perhatian ramai. Dia kemudiannya ditahan polis atas dakwaan jenayah siber, lapor media tempatan. Biarpun mengakui ia sekadar prank dan sudah memohon maaf kepada isterinya, dia boleh dipenjara sehingga lima tahun jika sabit kesalahan. - Daily Star.