suria

Jururawat hospital di Mexico dedah petugas kesihatan diminta tak pakai topeng muka untuk elak pesakit panik

Hospital IMSS di Monclova menjadi tempat panas pertama di Mexico yang mencatatkan peningkatan kes Covid-19. Foto: Reuters

JURURAWAT di sebuah hospital awam yang paling teruk dilanda Covid-19 di Mexico mendedahkan mereka diminta untuk tidak memakai topeng pelindung muka ketika peringkat awal penularan wabak tersebut.

Menurut jururawat itu, arahan yang dikeluarkan pengurus mereka adalah kerana mahu mengelakkan suasana panik di kalangan pesakit.

Pada peringkat awal permulaan wabak, pengurus 'mengatakan bahawa peralatan pelindung tidak diperlukan',  kata jururawat Charly Escobedo Gonzalez yang bekerja di Mexican Institute Of Social Security (IMSS) di Monclova.

Hospital itu menjadi tempat panas pertama di Mexico yang mencatatkan peningkatan kes Covid-19.

Dua doktor dan seorang pentadbir hospital telah meninggal dunia dan sekurang-kurangnya 51 orang kakitangan telah dijangkiti sejak Covid-19 baru dikesan di hospital itu pada akhir Mac, kata jabatan kesihatan negeri.

Sekurang-kurangnya empat pekerja yang dijangkiti kini sedang dirawat akibat wabak tersebut, sekaligus menimbulkan kekhuatiran bahawa sistem penjagaan kesihatan negara yang kekurangan dana tidak bersedia untuk menangani pandemik di negara yang mempunyai hampir 130 juta penduduk itu.

Menjawab soalan dari Reuters mengenai laporan yang mengatakan bahawa pengurusan hospital memberitahu kakitangan untuk tidak memakai topeng, seorang pegawai kanan hospital berkata bahawa dakwaan pekerja kesihatan tersebut harus dipercayai, walaubagaimanapun dia tidak mengesahkan perincian laporan tersebut.

"Khususnya, jika mereka mengatakan itu tentu kita harus mempercayainya," kata pegawai kanan tersebut, Raul Pena Viveros.

Mexico sehingga kini mencatatkan 4,661 kes Covid-19 dengan 296 kematian. - Reuters

Mexico, jururawat, panik, topeng muka

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan