PASANGAN warga emas yang dimasukkan ke wad unit rawatan rapi (ICU) selepas dijangkiti Covid-19 dapat meraikan ulang tahun perkahwinan mereka dengan bantuan kakitangan perubatan. Sandara, 71, dan Giancarlo, 73, yang terlantar di atas katil dilihat memegang erat tangan antara satu sama lain selepas kedua-duanya disatukan kakitangan perubatan di sebuah hospital di Fermo, Itali. Roberta Ferretti, seorang jururawat di hospital tersebut mengetahui pasangan itu akan meraikan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-50 dan mengatur parti kejutan untuk mereka bersama rakannya yang lain. "Sandra menangis bukan saja untuk diri sendiri, dia bimbang dengan keadaan suaminya. Dia beritahu betapa dia amat menyayangi suaminya itu. "Apabila saya mengetahui tentang ulang tahun perkahwinan mereka, saya fikir mereka perlu meraikannya," kata Ferretti. Parti itu hanya berlangsung selama 10 minit dan gambar menunjukkan petugas perubatan memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE). "Kami meletakkan 50 lilin di atas kek kecil kerana kamu tidak boleh menyalakannya dekat oksigen. "Ia momen yang sangat indah. Setiap minit amat berharga bagi mereka. Anda dapat melihat kasih sayang antara mereka," katanya. Media tempatan melaporkan pasangan itu sudah tidak lagi ditempatkan di ICU dan menunggu masa untuk dibenarkan keluar hospital. Itali merekodkan 159, 516 kes positif Covid-19 dengan 20,465 orang maut akibat jangkitan itu. - Metro.co.uk