suria

Korban Covid-19 di AS lepasi angka 30,000, New York wajibkan pakai penutup hidung dan mulut

Beberapa petugas di New York membantu seorang wanita yang mengalami kesukaran bernafas ketika wabak Covid-19 melanda seluruh dunia. -foto REUTERS

NEW York mewajibkan pemakaian penutup hidung dan mulut ketika berada di tempat awam selepas orang ramai gagal mematuhi peraturan penjarakan sosial, kata Gabenor Andrew Cuomo pada Rabu, lapor agensi berita Xinhua.

"Saya mengeluarkan Perintah Eksekutif hari ini, semua orang mesti memakai penutup hidung dan mulut," kata gabenor di Twitternya.

"Contohnya, jika seseorang menaiki pengangkutan awam mustahil untuk menjaga jarak sosial, atau berjalan di kawasan yang sibuk, anda mesti memakai penutup hidung dan mulut," katanya.

Semalam, New York mencatat 752 lagi kematian Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan seramai 11,500 orang menjelang Rabu petang, menurut Johns Hopkins University.

Gabenor berkata negeri itu juga akan menyemak laporan kematian Covid-19 untuk memasukkan data mereka yang mungkin meninggal dunia kerana penyakit berkenaan tetapi tidak pernah diuji, satu pendekatan baharu diambil New York. 

Angka korban akibat Covid-19 di New York meningkat sekitar 3,700 pada Selasa melebihi 10,000, selepas kakitangan jabatan kesihatan bandar bekerja selama berminggu-minggu bagi mengumpulkan maklumat kes-kes disyaki.

Sementara itu angka korban Covid-19 di Amerika Syarikat kini mencecah 30,844 dan 638,111 kes positif, lapor agensi berita Sputnik.

Kira-kira 2,500 orang meninggal dunia dalam tempoh 24 jam lalu manakala 52,640 pesakit sembuh, memetik data Johns Hopkins University. -Bernama

topeng, korban, Covid-19, Amerika

Artikel Lain