KETIKA koronavirus merebak di seluruh dunia termasuk Indonesia dengan pertambahan kes serta jumlah kematian, namun keadaan itu tidak menghalang penduduknya untuk membatalkan hasrat mudik ke kampung tahun ini. Berdasarkan kaji selidik yang dilakukan Katadata Insight Center (KIC) melibatkan 2,437 responden di 34 wilayah, sebanyak 63 peratus menyatakan tidak akan mudik tahun ini. Bagaimanapun, terdapat 12 peratus responden yang mengatakan tetap akan mudik walaupun pandemik Covid-19 melanda negara itu. Sementera itu, 21 peratus lainnya belum membuat sebarang keputusan dan empat peratus lagi sudah lebih awal pulang ke kampung masing-masing. Berdasarkan data 2019, jumlah pemudik mencecah 18.3 juta, sekali gus bermakna 12 peratus itu daripada jumlah itu menjadikan kira-kira tiga juga penduduk Indonesia dijangka mudik tahun ini. Pengarah KIC, Mulya Amri berkata, pemantauan perlu dilakukan terhadap mereka yang memaklumkan untuk tetap mudik dan kumpulan yang belum membuat sebarang keputusan. Kaji selidik itu juga menunjukkan 39.4 peratus yang sudah pulang ke kampung adalah kumpulan pelajar, diikuti pekerja swasta meliputi 23.1 peratus. Mereka telah mudik antara 1 hingga 5 Mac lalu dan mencapai kemuncak antara 16 hingga 20 Mac ketika Presiden Joko Widodo mengeluarkan arahan supaya belajar, bekerja dan beribadah di rumah. Tidak terkecuali, peniaga kecil, pengusaha kedai dan warung makan serta pekerja kilang yang juga telah mudik lebih awal. Sementara itu, daripada 12 peratus yang tetap mahu mudik menjelang Aidilfitri nanti meliputi kelompok pegawai sektor swasta, kakitangan kerajaan dan bakinya adalah pelajar. Hampir semua responden yang memberitahu akan tetap mudik itu memberi alasan mahu bertemu keluarga di kampung halaman dengan peratusan pulang dari Jakarta ke Jawa Tengah paling tinggi diikuti Jawa Barat dan Jawa Timur. Lebih ramai kumpulan responden yang mahu mudik ini menggunakan kenderaan sendiri diikuti kapal terbang.Selain itu, kata Mulya, sebanyak 54.6 peratus yang menyatakan enggan mudik kerana akur arahan kerajaan berikutan penyebaran Covid-19. Kaji selidik itu dilakukan secara dalam talian dengan pecahan usia responden meliputi 17-29 tahun (37.8 peratus), 30-10 tahun (30.3 peratus), 41-50 tahun (24 peratus), 51-60 tahun (6.7 peratus) dan lebih 60 tahun sebanyak 1.2 peratus.-kompas.com