PEMIMPIN Korea Utara Kim Jong-un dilaporkan sedang tenat selepas menjalani pembedahan jantung. CNN melaporkan keadaan kesihatan pemimpin berusia 36 tahun itu dipantau pegawai perisik Amerika Syarikat (AS) selepas dimaklumkan Jong-un dalam bahaya selepas pembedahan tersebut. Jong-un tidak menghadiri sambutan perayaan terpenting Korea Utara pada 15 April lalu sekali gus menimbulkan spekulasi mengenai keadaan kesihatannya. Laman web Korea Selatan, Daily NK mendakwa Jong-un hampir pulih selepas menjalani prosedur tersebut. Laman web itu memperoleh maklumat daripada seorang sumber yang berpusat di Korea Utara dan tidak mengetahui keadaan terkini Jong-un selepas itu, lapor Bloomberg. Bekas Timbalan Ketua Bahagian CIA untuk Korea Utara, Bruce Klingner berkata desas-desus mengenai keadaan kesihatan Jong-un sebelum ini tidak benar. "Ada beberapa khabar angin baru-baru ini mengenai kesihatan Jong-un (merokok, jantung dan otak). "Jika Jong-un dimasukkan ke hospital, ia akan menjelaskan mengapa dia tidak hadir dalam perayaan penting pada 15 April lalu. "Namun selama bertahun-tahun, terdapat khabar angin tidak benar mengenai kesihatan Jong-un atau bapanya. Kita perlu tunggu dan lihat," katanya. Kali terakhir Jong-un dilihat dikhayalak ramai adalah pada 11 April lalu ketika dia hadir mesyuarat kerajaan. Kerajaan Korea Utara masih belum mengeluarkan sebarang komen mengenai keadaan kesihatan pemimpinnya itu. - Metro.co.uk