SEORANG pemuda nekad memotong lidahnya sendiri kerana percaya ia merupakan 'pengorbanan' untuk memujuk dewa-dewa bagi menghentikan wabak Covid-19, demikian menurut laporan. Pemuda bernama Vivek Sharma dikejarkan ke hospital selepas ditemui tidak sedarkan diri di Kuil Nadeshwari di Gujarat, pada Ahad. Lidahnya turut ditemui berada dalam tangannya. Vivek, 24, yang bekerja sebagai pengukir batu itu dikatakan kecewa lantaran kerajaan menguatkuasakan perintah berkurung (lockdown), di mana keadaan itu menyababkan dia tidak dapat pulang ke kampungnya di daerah Morena, Madhya Pradesh. Selepas bekerja selama hampir dua bulan untuk penyambungan Kuil Bhavani Mata di Suigam, dia dikatakan memberitahu mahu mengunjungi pasar kepada rakan sekerjanya. Apabila tidak pulang, abang Vivek kemudian menghubungi telefon bimbit adiknya itu sebelum panggilannya dijawab oleh orang yang tidak dikenali dan memberitahu mengenai keadaannya. Pasukan perubatan dikatakan cuba menyambung kembali lidah pemuda tersebut namun masih belum diketahui sama ada usaha itu berhasil atau sebaliknya. Sumber polis memberitahu media tempatan bahawa pemuda itu percaya lidahnya dapat digunakan sebagai pengorbanan untuk menenangkan dewa sekaligus dapat menghentikan wabak tersebut. Bagaimanapun, pegawai polis mengatakan dakwaan itu tidak dapat disahkan sehingga siasatan mengenai kejadian itu selesai dilakukan. - Metro.co.uk