suria

Dua doktor terselamat jangkitan Covid-19 terkejut lihat kulit jadi gelap

Perubahan warna kulit itu dipercayai akibat kesan sampingan ubat semasa rawatan dilakukan.

DUA doktor warga China yang tenat akibat Covid-19 mendapati kulit mereka berubah warna selepas pulih daripada jangkitan itu.

Dr Yi Fan dan Dr Hu Weifeng, kedua-duanya berusia 42 tahun dijangkiti wabak itu ketika merawat pesakit di sebuah hospital di Wuhan pada Januari lalu.

Doktor yang merawat mereka berkata kedua-duanya terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan.

Penggunaan alat tersebut bagaimanapun menyebabkan kulit mereka bertukar menjadi gelap.

Perubahan itu berlaku disebabkan ketidakseimbangan hormon yang terjadi selepas hati rosak diserang virus tersebut, lapor media tempatan China.

DrYi dan Dr Hu pernah bekerjasama dengan Dr Li Wenliang yang maut akibat Covid-19 pada 7 Februari lalu.

Kedua-duanya disahkan positif jangkitan itu pada 18 Januari lalu dan dibawa ke Hospital Pulmonari Wuhan untuk rawatan susulan.

Dr Li Shusheng yang merawat kedua-dua petugas kesihatan itu berkata kulit mereka menjadi gelap kerana sejenis ubat yang diberikan semasa peringkat awal rawatan.

Katanya lagi, perubahan kulit itu juga adalah salah satu kesan sampingan ubat tersebut.

Walaupun dia tidak mendedahkan ubat itu, Dr Li berkata kulit itu akan kembali normal sebaik sahaja hati mereka berfungsi dengan baik. - Metro.co.uk

Covid-19, doktor

Artikel Lain