suria

Pembaca berita China dakwa koronavirus 'terlepas' dari makmal Amerika Syarikat

Ms V mendakwa virus itu disebarkan ke China semasa Sukan Tentera Dunia di Wuhan pada Oktober tahun lalu.

SEORANG pembaca berita sebuah stesen TV di China mendakwa koronavirus (Covid-19) berasal dari Amerika Syarikat (AS) dan bukannya China.

Pembaca berita itu yang dikenali sebagai Ms V menyenaraikan beberapa teori konspirasi semasa episod 'China View' dalam program CGTN untuk menunjukkan virus yang berpusat di Wuhan itu disebarkan dari luar negara.

Pada 14 Mac, Ms V berpendapat Covid-19 berpunca dari sebuah makmal di AS atau disebarkan ke China semasa Sukan Tentera Dunia di Wuhan pada Oktober tahun lalu.

Namun teori itu dinafikan ramai penyelidik.

Video itu yang menerima jutaan tontonan secara atas talian muncul selepas Beijing dan Washington menuding jari antara satu sama lain berkaitan punca sebenar wabak Covid-19.

"Wabak ini mungkin lebih awal daripada dijangkakan. Pada September 2019, beberapa rakyat Jepun dijangkiti Covid-19 selepas kembali dari Hawaii walaupun mereka belum pernah berkunjung ke China.

"Ini berlaku dua bulan sebelum penularan wabak itu di China. Tidak lama kemudia CDC menutup kemudahan tersebut selepas mendakwa Makmal Senjata Biologi Fort Detrick gagal sepenuhnya untuk mencegah kehilangan patogen," katanya.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) berkata Covid-19 berasal dari sebuah pasar basah yang menjual makanan eksotik di Wuhan. - Metro.co.uk

Artikel Lain