SEGALANYA berubah apabila pasangan suami isteri ini yang berjuang menentang koronavirus diletakkan di katil bersebelahan. Michael Blessington, 68, dan isterinya Mary, 67, pertama kali bertemu ketika mereka berusia 13 tahun dan akan menyambut ulang tahun perkahwinan ke-48 pada September ini apabila mereka sembuh dari Covid-19. Saudara-mara mereka berkata, keadaan kesihatan pasangan itu mula menunjukkan peningkatan ketika mereka bertemu semula di hospital, yang mana pada awalnya masing-masing dirawat di wad berasingan. Kedua-dua mereka digegaskan ke hospital dengan ambulans dalam jarak satu jam antara satu sama lain, apabila menderita tahap oksigen yang sangat rendah. Michael baru-baru ini didiagnosis barah paru-paru dan Mary menderita asma yang teruk. Anak lelaki pasangan itu memberitahu BBC bahawa keadaan pada masa itu sangat getir, dengan kakitangan bertanya kepada bapanya jika dia ingin diberi bantuan pernafasan sekiranya jantungnya berhenti berdegup. Mary pula berfikir dia tidak mampu bertahan, malah pada malam pertamanya meminta doktor memberi suntikan dan membiarkannya mati. Dia membandingkan virus itu dengan segala kesakitan yang pernah dialaminya sebelum ini, termasuk ketika melahirkan anak atau serangan asma. Pasangan ini tidak pernah berenggang selama 48 tahun berkahwin. -foto BBC Hanya setelah pasangan itu dapat bercakap antara satu sama lain ketika berlainan wad, mereka berubah fikiran dan memutuskan untuk melawan virus tersebut. Mary berkata berada di hospital yang dikelilingi petugas perubatan dengan pakaian pelindung dan orang-orang yang menunggu mati adalah sangat menakutkan. Bagaimanapun, anak lelaki mereka, Craig tahu bahawa memisahkan ibu bapanya tidak akan membantu mereka berdua kerana mereka terus bimbangkan antara satu sama lain. “Mereka akan buat apa saja untuk satu sama lain, mereka selalu bersama. Ketika bercuti ayah memancing dan Ibu duduk bersamanya dan membaca. Ayah penuh dengan tatu tetapi hubungan mereka unik,” katanya kepada BBC. Akhirnya, atas usaha keluarga, mereka dapat bersatu kembali apabila terdapat katil berdekatan di wad yang diduduki Mary. ”Kami beritahu ayah dan perkara pertama yang dia kata adalah ‘dapat pun dia (isterinya)’. “Kami fikir itu adalah permulaan untuk dirinya, dia sangat tenat sehingga kami fikir dia akan mati. Dia pucat, tak dapat bernafas dan semakin teruk. Ketika diletakkan bersama ibu, itulah titik perubahannya. “Kamu pasti dapat menyedarinya, terutama untuk ayah,” kata Craig. Michael dan Mary sedang dalam proses pemulihan dan doktor berharap mereka dapat dibenarkan keluar tidak lama lagi untuk membuat persediaan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-48 pada September. -Metro UK