PERSONALITI Youtuber Indonesia, hasanjr11 memohon maaf kepada masyarakat beragama Islam di negara itu susulan tindakannya menawarkan wang Rp10 juta (RM2,845) kepada individu yang sanggup membatalkan puasa. Menurut hasanjr11, dia mengakui tindakan tersebut adalah seratus peratus kesalahannya yang tidak peka dengan sensitiviti agama Islam. "Assalamualaikum wbt, saya hasanjr11, saya mahu meminta maaf kepada seluruh masyarakat atas salah satu video Youtube saya yang tidak peka, saya mengaku itu seratus peratus kesalahan peribadi. "Saya memang salah, hal ini menjadi pembelajaran bagi saya untuk tidak membuat kesalahan lagi dan memperbaiki diri saya," demikian katanya dalam satu video yang dimuat naik di Instagram miliknya @hasanjr11 Sebelum ini, hasanjr11 telah memuat naik satu video di Youtube menunjukkan dirinya telah menawarkan makanan kepada orang ramai bagi menguji sejauh mana tahap keimanan dan materialistik seseorang. Sebagai ganjaran, beliau berjanji akan memberi wang bernilai Rp10juta kepada individu tersebut. Tindakan tersebut mengundang kecaman ramai yang menyifatkan perbuatan hasanjr11 adalah satu penghinaan dalam Islam. Video kontroversi tersebut kemudian telah dipadamkan dari saluran YouTube miliknya. - Tribunnews