AJAIB! Seorang nenek berusia 100 tahun di Indonesia disahkan pulih daripada Covid-19, sekaligus menjadikannya sebagai individu tertua yang 'terselamat' daripada wabak maut itu di negara tersebut. Kamtim, dibenarkan keluar dari hospital baru-baru ini selepas menerima rawatan selama sebulan di sebuah hospital di Surabaya. Gabenor Jawa Timur, Khofifah Indar Parawansa berkata dia berharap kisah Kamtim yang berjaya berjuang menentang Covid-19 pada usia lanjut memberikan semangat kepada orang lain. "Saya harap pemulihannya dapat memotivasi ramai lagi pesakit tua semasa pandemik ini," tambah Parawansa. Dilahirkan pada tahun 1920, Kamtim dibawa ke hospital bulan lalu setelah menunjukkan simptom dan dia kemudian disahkan dijangkiti wabak tersebut. Siti Aminah, menantu wanita warga emas itu berkata, rahsia kepada kesembuhan ibu mentuanya adalah "disiplin dan kegigihan". "Setiap hari saya memantau keadaannya dengan jururawat dan mereka selalu memberitahu saya bahawa dia sangat kuat dan rajin mengambil ubatnya," kata Siti Aminah. - straitstimes.com Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!