SEPASANG kekasih dihukum sebat sebanyak 100 kali di khalayak ramai selepas ditangkap khalwat di Indonesia. Meskipun wabak Covid-19 masih lagi meruncing di negara itu, puluhan orang berkumpul di luar masjid dekat wilayah Aceh Besar pada Jumaat untuk melihat hukuman terhadap pasangan tersebut. Mereka dikenakan 100 sebatan selepas melakukan seks sebelum berkahwin. Pihak berkuasa berkata mereka telah mengambil langkah keselamatan yang mencukupi. Pasangan itu turut diperiksa suhu badan dan memakai topeng muka ketika hukuman sebat dilaksanakan. Lelaki itu yang namanya tidak didedahkan dilaporkan gagal menahan kesakitan sehingga memaksa hukuman itu dihentikan seketika. "Pasangan itu layak dihukum 100 sebatan kerana melanggar undang-undang Islam," kata Ketua Jenayah Umum di Pejabat Pendakwa Raya wilayah Aceh Besar, Agus Kelana Putra. Jumlah mereka yang hadir menyaksikan hukuman tersebut jauh lebih kecil. "Tidak ramai yang datang kerana hukuman ini pernah dilihat banyak kali sebelum ini atau mereka bimbang dengan wabak Covid-19," kata seorang penduduk tempatan. - Dailymail Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!