PULUHAN juta murid di Filipina tidak akan dibenarkan kembali ke sekolah sehingga vaksin bagi wabak Covid-19 tersedia, demikian menurut kerajaan negara itu, sambil menyatakan mereka berkemungkinan menimbang untuk menyiarkan pembelajaran menerusi televisyen. Presiden Rodrigo Duterte pada bulan lalu berkata bahawa sungguhpun pelajar tidak dapat menamatkan pengajian, mereka tetap perlu menjauhi sekolah untuk mengelakkan penularan wabak Covid-19. "Kami akan mematuhi arahan presiden untuk menangguhkan kelas secara bersemuka sehingga vaksin tersedia," kata setiausaha pendidikan, Leonor Briones dalam satu kenyataan pada hari Isnin. Kelas akan disambung semula pada akhir bulan Ogos dan guru akan menggunakan kaedah pembelajaran jarak jauh melalui siaran Internet atau TV jika diperlukan, tambah Briones. Para saintis di seluruh dunia ketika ini sedang berlumba-lumba untuk mengembangkan vaksin Covid-19, tetapi tidak jelas bila ia akan berjaya dihasilkan dan diedarkan secara meluas. - CNA Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!