SELAMA 95 hari dirawat di hospital kerana wabak Covid-19, lelaki ini akhirnya disahkan pulih dan dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga. Keith Watson, 52, merupakan pesakit Covid-19 yang paling lama menerima rawatan di Britain. Sepanjang dirawat, Keith terlantar koma selama 23 hari dan dimasukkan ke unit rawatan rapi selama 41 hari sewaktu berjuang 'melawan' wabak berkenaan. Malah, doktor juga memaklumkan keluarga Keith sebanyak dua kali bahawa dia berkemungkinan tidak dapat diselamatkan. Namun keajaiban berlaku dan kini Keith dapat kembali ke pangkuan isteri, Sarah, dan tiga anaknya. Kepulangannya disambut dengan tepukan dan sorakan oleh lebih daripada 100 orang yang terdiri daripada kenalan dan jiran sewaktu dia tiba di kediamannya di Herne Bay, Kent. "Saya tak percaya saya masih bernafas, itu yang paling sukar untuk difahami," ujarnya dalam nada cukup beremosi. Keith dimasukkan ke hospital pada 20 Mac lalu selepas mengalami kesukaran bernafas. - Metro.co.uk Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!