"SAYA fikir saya telah buat kesilapan. Saya ingatkan ia main-main, tapi tidak." Demikian kata-kata terakhir seorang pesakit berusia 30 tahun yang meninggal dunia di Hospital Methodist di San Antonio, Texas di Amerika Syarikat (AS). Menurut ketua pegawai perubatan hospital itu, pesakit meninggal dunia pada minggu ini, selepas menghadiri sebuah parti yang kononnya adalah 'parti Covid-19'. Dr Jane Appleby menerusi kenyataan yang direkodkan berkata, pesakit berkenaan memberitahu jururawat mengenai parti tersebut, yang dikatakan dianjurkan oleh seseorang yang menghidap Covid-19. "Ideanya adalah semua orang berkumpul bersama untuk melihat sekiranya virus itu adalah benar dan sekiranya ada yang dijangkiti," kata Appleby. Menurut Appleby, beliau berkongsi kisah tersebut bukan untuk menakutkan orang ramai, tetapi untuk memastikan mereka memahami bahawa virus tersebut boleh menjangkiti sesiapa sahaja. Beliau menambah, kebanyakan kes Covid-19 di hospital itu membabitkan golongan yang berumur dalam lingkungan 20-an dan 30-an. Appleby juga memberi amaran bahawa virus itu tidak mendiskriminasi sesiapa, dan menggalakkan orang ramai untuk memakai topeng muka dan seboleh-bolehnya kekal berada di rumah. - ABCNews Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!