suria

Tiga banduan jadi hero selamatkan nyawa pegawai penjara terkena serangan jantung

Seorang pegawai penjara, Warren Hobbs (gambar kecil) yang mengalami serangan jantung ketika bertugas berjaya diselamatkan oleh tiga banduan. Foto: Metro.co.uk

TINDAKAN pantas tiga banduan berjaya menyelamatkan nyawa seorang pegawai penjara yang mengalami serangan jantung ketika sedang bertugas.

Warren Hobbs, 46, yang ketika itu sedang bertugas di Penjara Gwinnett County, Georgia rebah di mejanya dan kemudian disedari oleh tiga banduan berkenaan.

Sebelum kejadian yang berlaku pada 10 Julai itu, Terry Lovelace, Walter Whitehead dan Mitchell Smalls menyedari Hobbs seperti tidak sihat.

Mereka mula berasa tidak sedap hati apabila terdengar bunyi seperti 'dengkuran' dari tempat Hobbs, namun menyangkakan pegawai itu mungkin tidur.

Namun tidak semena-mena mereka dikejutkan dengan bunyi kuat seperti orang rebah ke lantai.

Dengan pantas, tiga banduan berkenaan menggoncang gril sel untuk menyedarkan banduan lain.

Bunyi bising menyebabkan Hobbs yang dalam keadaan separa sedar berjaya menggagahkan diri menekan butang untuk membuka sel yang menempatkan tiga banduan berkenaan.

Dengan pantas, mereka membuat panggilan kecemasan ke talian 911 dan memberikan bantuan awal.

Hobbs kini dilaporkan sudah dibenarkan keluar dari hospital namun masih perlu menjalani rawatan susulan. - Metro.co.uk

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

banduan, hero, serangan jantung

Artikel Lain