SEPASANG suami isteri tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka di Vacaville, California musnah dijilat api dalam satu kebakaran, bulan lalu. Pasangan Jason dan Chloe Caroll bersama dua anak lelaki mereka terpaksa berlari keluar rumah untuk menyelamatkan diri ketika api mulai marak. Dan ketika menyedari bahawa cincin perkahwinan tertinggal di dalam bakul di bilik mandi, pasangan itu cuba kembali untuk menyelamatkannya namun tidak kesampaian dek kerana api yang marak. Di kala sedang berduka apabila melihat semua harta benda mereka musnah sepenuhnya, pasangan ini kemudian mampu mengukir senyuman apabila menjumpai semula cincin perkahwinan mereka. "Saya tidak membayangkan sesuatu dapat ditemui, dan saya percaya jika ia ditemui, ia akan cair," kata Jason. Cincin itu dijumpai oleh ibu saudara Chloe di bawah lapisan abu di bahagian bilik mandi kediaman pasangan berkenaan. - Dailystar Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!