AKIBAT tidak puas hati dengan urusan rawatan suaminya, seorang wanita disyaki melumurkan najis ke PPE yang dipakai petugas kesihatan. Isteri kepada pesakit Covid-19 itu melakukan perbuatan itu terhadap tiga petugas pusat kesihatan di Surabaya. Susulan itu, wanita berkenaan kini disiasat kerana menghalang petugas kesihatan menjalankan tanggungjawab dan juga kerana peruntukan melibatkan penyakit berjangkit. Polis Surabaya, Sudamiran berkata, setakat ini pihaknya telah mengambil keterangan terhadap tujuh saksi termasuk petugas kesihatan dan pengadu. "Seterusnya kami akan memanggil suspek untuk memberi keterangan berhubung insiden berkenaan," katanya berkaitan kejadian melibatkan pesakit dari Rusun Bandarejo, Kecamatan Sememi di Surabaya itu. Peristiwa itu bermula apabila pesakit menjalani ujian swab pada 23 September lalu sebelum memperoleh keputusan pada 28 September. Petugas kesihatan kemudiannya telah melakukan pengesanan kontak rapat kepada pesakit berkenaan iaitu suami kepada wanita terbabit. "Lelaki itu disahkan positif Covid-19 dan perlu dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut," demikian kata Ketua Bahagian Hubungan Masyarakat, Pemerintah Kota Surabaya, Febriadhitya Prajatara. Bagaimanapun, pihak keluarga lelaki itu iaitu isteri serta anak keduanya menolak hingga petugas kesihatan terpaksa berbincang dengan anak sulungnya. Selepas masing-masing mencapai kata putus untuk membawa lelaki itu ke hospital tetapi isteri pesakit tetap menolak hingga bertindak melumurkan najis ke PPE petugas terlibat. - Kompas.com Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!